Home Resepi Ayam Resepi Ayam Masak Halia Paling Sedap

Resepi Ayam Masak Halia Paling Sedap

Resepi Ayam Masak Halia Paling Sedap − Salam semua. Kali ini Che Nom nak kongsikan resepi masakan ayam yang mudah dan sangat sedap iaitu Resepi Ayam Masak Halia. Kadang kala kita tak perlu bersusah payah untuk masak sesuatu yang terlalu complicated untuk dihidangkan kepada keluarga.

ayam-masak-halia-paling-sedap

Cukup sekadar masakan yang mudah tapi istimewa hidangan air tangan sendiri, dan dipadankan pula dengan nasi yang panas. Memang sedap! Sila lah cuba resepi ini ya.

Masa:

Penyediaan: 20 minit | Memasak: 15 minit | Keseluruhan: 35 minit

Jumlah Hidangan : 4 orang

Bahan-Bahan Ayam Masak Halia Paling Sedap :

  • 500 gram ayam, potong kecil
  • 4 ulas bawang putih, hiris nipis
  • 2 cm halia, dihiris halus memanjang
  • 1 sudu besar kicap cair
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 biji bawang besar, hiris nipis membulat
  • 1 biji cili merah, hiris nipis
  • 1 tangkai daun bawang, hiris panjang 2cm cm
  • 1 1/2 sudu kecil tepung jagung, bancuh dengan sedikit air
  • minyak masak, untuk goreng ayam
  • sedikit lada sulah atau lada hitam
  • sedikit garam dan kunyit
  • garam dan gula, secukup rasa

Cara Penyediaan :

  1. Panaskan minyak. Gaul ayam bersama garam dan kunyit kemudian goreng separuh masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Ambil sedikit minyak dari baki gorengan ayam tadi anggaran 1/2 senduk dan tumis bawang putih bersama halia sehingga naik bau. Masukkan kembali ayam yang digoreng separuh masak tadi..
  3. Masukkan pula sos tiram, kicap cair, dan sedikit taburan lada putih. Kacau seketika (jaga jangan sampai bawang putih hangus).
  4. Masukkan air bancuhan tepung jagung dan kacau sehingga kuah menjadi sebati dan pekat. Tambah sedikit lagi air jika anda suka lebih kuah.
  5. Taburkan dengan cili merah dan bawang besar dan kacau selama 2-3 minit sebelum diangkat. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  6. Angkat dan tabur dengan daun bawangdan. Hidangkan bersama nasi panas.

Tips:

Hati-hati semasa masukkan garam kerana kicap cair sudah masin. Begitu juga ayam tadi yang sudah masin diperasakan garam semasa menggoreng.